Jumaat

LATIHAN FASA 1 PERINGKAT 1

Assalamualaikum... dan salam sejahtera,

Pertama-tamanya saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua kaum Cina khususnya kepada Cikgu Melinda Tan Yen Sia di SKGP yang akan merayakan perayaan utama mereka pada esok hari. Diharap pada tahun ini akan menambahkan lagi kesejahteraan untuk semua kaum di Malaysia.
 
Pasukan SKGP sedang menjalani latihan

Coretan kali ini akan saya ceritakan tentang sisi latihan minggu-minggu pertama bagi pasukan Bola Baling SKGP. walaupun sesi latihan yang saya kendalikan ini tidak sama seperti pakar-pakar dalam bidang kejurulatihan yang lain, namun saya berharap apa yang saya coretkan di sini akan memberikan input yang berguna kepada mereka-meraka yang ingin membentuk pasukan baru di sekolah-sekolah mereka.

Seperti pasukan-pasukan lain, kami memulakan latihandengan sesi memanaskan badan seperti larian anak atau 'joging' mengelilingi gelanggang permainan. Kemudian diikuti latihan regangan. Sepertimana yang telah diterangkan pada tajuk yaang lalu, regangan boleh dimulakan dari kepada hingga ke kaki ataupun sebaliknya.`

Minggu pertama kami mulakan dengan latihan asas membaling. Penekanan kepada kemahiran ini sangat penting terutama kepada pelajar-pelajar yang baru mengenali bola baling. Latihan ini sangat penting kerana balingan yang baik hasil dari latihan balingan yang berterusan. Membetulkan kesalahan balingan perlu terutam a kepada pelajar-pelajar perempuan kerana mereka banyak terpengaruh dengan balingan atau hantaran bola jaring yang banyak menekankan kepada hantaran bola menggunakan sendi siku sedang balingan bagi pemain bola baling banyak menggunakan kesemua sendi yang ada pada tangan. Bermula dengan sendi bahu, sendi siku diikuti dengan sendi pergelangan tangan dan seterusnya sendi jari-jari tangan. Kesemua sendi-sendi ini memainkan peranan yang penting terutama pada sendi pergelangan tangan yang akan menentukan kekuatan ketepatan balingan. Begitu juga dengan sendi jari telunjuk, jari hantu dan jari manis yang menentukan ketepatan sesuatu balingan yang dilakukan.
Oleh itu, kemahitran balingan perlu ditekankan oleh seseorang guru yang akan membentuk pasukan bola baling. Jika pemain kita tidak dibaiki kesalahan balingan ini akan memperlihatkan kegagalan kita untuk membentuk sebuah pasukan bola baling yang bermutu. Latihan balingan ini seharusnya dilakukan tiap-tiap hari sebelum kita beralih kepada kemahiran-kemahiran yang lebih tinggi. Bagi saya, kemahiran ini perlu mengambil masa untuk membentuk pemain yang baik mutu balingannya. Jadi dalam masa dua minggu latihan, kami hanya memfokuskan kepada kemahiran balingan sahaja.

Walaupun begitu, saya mempelbagaikan kemahiran balingan ini. Pertama, kami mulakan dengan kemahiran balingan statik. Memperbaiki teknik balingan yang betul beserta dengan gerak kaki ke hadapan (bergantung kepada pemain: Jika balingan menggunakan tangan kanan, pemain akan melangkah kaki kiri selangkah ke hadapan serentak dengan balingan tangan kanan dan sebaliknya)


Selain itu, pegangan bola juga harus diperhatikan agar pemain memegang bola dengan betul. Kebanyakan pemain yang baru berkecimpung dalam permainan bola baling akan meemgang bola dengan menggunakan jari dan atas tapak tangan sahaja sedangkan bola seharusnya dipegang dengan sepenuh tapak tangan di samping ibu jari dan jari kelingking akan mengawal kedudukan dan arah pergerakan bola semasa balingan dilakukan. Tiga jari yang lain(jari telunjuk, jari hantu dan jari manis) akan menjadi penolak bola yang terakhir. 

Buat pengetahuan guru-guru yang baru melatih pasukan bola baling, balingan yang baik akan membuat pergerakan bola dengan putaran yang sedikit. Putaran bola tersebut menunjukkan balingan yang dilakukan itu balingan yang baik ataupun tidak.

Kemihran membaling ini bermula dengan gerakan tangan ke belakang badan dan menarik tangan dari belakang melalui belakang kepala atas bahu terus lajak ke hadapan seterusnya melepaskan bola setelah sendi pergelangan tangan/lengan dan tiga jari terakhir melakukan tugasan masing-masing. Gerakan tersebut beserta dengan gerakan kaki ke hadapan.

Kedudukan pemain ketika sesi latihan membuat balingan

Selepas pemain-pemain telah agak mahir dengan kemahiran membaling menggunakan satu langkah, latihan diteruskan dengan menggunakan dua langkahan yang dimulakan dengan kaki kanan dan seterusnya kaki kiri beserta dengan gerakan tangan untuk membaling bola (bagi pemain yang menggunakan tangan kanan). Biasanya fasa ini akan mengambil masa seminggu atau dua untuk memantapkan kemahiran asas membaling.

Cadangan kepada guru-guru agar menggunakan bilangan bola yang banyak untuk memberikan lebih kemahiran kepada pemain-pemain melakukan latih tubi. Ada sesetengah jurulatih yang 'sayang' untuk menggunakan bola yang banyak walaupun mempunyai bola yang banyak. Mereka lebih gemar untuk melakukan kemahiran balingan berkumpulan yang ramai sedangkan menggunakan bola yang banyak lebih baik dan memberikan lebih kekerapan kepada pemain untuk memperolehi kemahiran. Wujudkan kumpulan yang lebih kecil adalah lebih baik dari bilangan pemain yang ramai dengan sebiji bola.  Jika boleh, berikan sebiji bola untuk dua orang pemain. Ini akan memberikan kelebihan kepada pemain untuk melakukan kemahiran membaling dengan lebih banyak dan kerap. Dengan itu, mereka akan cepat memperbaiki kelemahan dan kesalahan yang dilakukan.

Sekian dulu buat kali ini....

Tiada ulasan: