Ahad

ULASAN KEDUA UNTUK TANPA NAMA

assalamualaikum w.r.t..terima kasih sy ucapkan utk ulasan encik din mengenai catatan sy tempoh hari..hari ini bru sy mempunyai masa utk membalasnya..kesibukan bekerja di "off-shore" xdpt dielakkan..pertama kali nya..sy jga memohon maaf kerana melibatkan SKTP dlm catatan sy itu..scara jujur..catatan sy itu lahir dari perasaan sy sbgai seorg ayah..sy sedaya mungkin akan meluangkn masa sy utk menghantar anak sy menjalani latihan di SKTP pd stiap ptg sblm pertandingan itu..dgn harapan di hati spaya anak lelaki sy itu mampu pergi jauh dlm sukan ini..mungkin perasaan sma jga lahir dr encik din jika berada di tempat sy...tetapi setelah membaca ulasan dr encik din itu...sy sedikit sbyk faham akan apa yg encik din hadapi dlm memilih pemain2 yg berkualiti..mungkin sy hanya beremosi ketika dlm catatan sy tempoh hari..permohonan maaf sy pohon jka ada mana2 pihak termasuk SKTP sendiri yg terguris..pun begitu..sy masih sentiasa mengikuti perkembangan sukan ini dan mendoakan kejayaan utk negeri kita..TERENGGANU darul iman..MAJULAH SUKAN UTK NEGARA.. -ayah prihatin-.. 

Waalaikum salam..
Catatan Pertama:
Alhamdulillah.... syukur kepada Allah s.w.t kerana apa yang diterangkan dalam ulasan yang lalu dapat diterima oleh 'tanpa nama' yang juga seorang 'ayah perihatin'. Sesunggugnya keikhlasan hati ini bukan untuk diri kepentingan sendiri tetapi kerana amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan oleh pihak atasan. Dan kerana itu, apa yang dilakukan hanyalah untuk menjalankan amanah bukan mendapat apa-apa keistimewaan atau kepentingan diri sendiri. Malahan kebanyakannya... duit sendiri yang banyak mengalir keluar tanpa mendapat pulangannya... Biarlah.... hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.

Catatan Kedua:
Permohonan maaf dari lubuk hati ini kerana menyangka salah kepada guru-guru SKTP. Sangkaan di atas komentar yang sampai kepada saya memang ditujukan kepada guru-guru SKTP yang mungkin kecewa di atas apa yang terjadi. Rupanya, guru-guru SKTP semamangnya sangat profesional. Maafkan saya. Sesungguhnya tidak ada niat buruk sangka di hati, sekadar memberikan penjelasan dan keterangan agar mereka-mereka yang mengikutinya, akan memahami keadaan dan tugas serta tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan kepada saya, selaku pengerusi Teknik MSS Dungun. Bukannya tidak ada panel pemilih bebas, namun selama yang telah diberikan... akhirnya saya juga yang terpaksa menggunakan bidang kuasa yang ada untuk menyelesaikannya memandangkan kekurangan pegawai yang ada dan jika ada mereka terpaksa memikul tanggungjawab yang lebih besar... untuk meastikan kemenangan pasukan yang dibimbingnya. Dan kekadang menjadi lebih rumit kerana apa yang dikehendaki tidak diterima sepertimana yang diharapkan. Maka terpaksalah... dail nombor..." hello....... hantar budakmu seorang ke MSST!!..." Hasilnya... tidak ada pemain-pemain dari MSS Dungun yang dapat mewakili MSS Terengganu.

Sesungguhnya bukannya suka sangat untuk menerima tugas yang diberikan ini kerana, tugas yang diberikan  ini sentiasa menghadapi kesukaran dan kesulitan untuk menjalan serta melaksanakannya. Masalah-masalah yang sama setiap tahun akan berlaku. Dan kadang-kadang tinggal dua-tiga orang sahaja pegawai yang tinggal untuk menyudahkan penganjuran sesuatu kejohanan atau karnival peringkat MSS Dungun. Penat memang tidak dapat dinafikan lagi. Namun... kerana minat yang mendalam dalam bola baling, semua itu terus dihadapi dan diharungi.... moga-moga apa yang kita lakukan dengan keikhlasan hati.... Insya-Allah... ada ganjaran yang kita tidak sedar datangnya dari Allah s.w.t.

Catatan Ketiga:
Tercertus rasa gembira dalam hati ini kerana bog uyang dilahirkan ini juga mendapat sambutan dari rakan-rakan serta pengunjung yang perihatin dengan perkembangan bola baling baik peringkat daerah, negeri, negara dan tak terkecuali pengunjung dari luar negara. Terima kasih sekali lagi saya hulurkan kepada pengunjung yang melayari blog ini. Semoga ianya dapat memberikan sedikit infomasi untuk meningkatkan dan memperkembangkan lagi permainan Bola Baling. Juga ucapan terima kasih kepada 'ayah perihatin' kerana ulasannya telah memberikan satu kesedaran dalam diri ini agar melakukan kerja dengan lebih beretika dan lebih telus kerana bola baling bukan untuk MSS Dungun atau MSS Terengganu semata-mata tetapi kini milik semua yang terlibat khususnya ibu bapa yang perihatin. TQVM ayah perihatin. Ikhlas dari saya, teguran anda amat-amat saya hargai.

Tahniah juga dari saya 'bapa perihatin' kerana jarang seorang ayah yang sanggup meluangkan masa untuk memberikan peluang kepada anak-anaknya bergiat aktif dalam sukan terutama pada hari ini di mana ibu bapa lebih mementingkan kecemerlangan akademik. Apatah lagi dalam permainan bola baling yang jarang diceburi oleh pelajar-pelajar dan perhatian daripada ibu bapa. Tidak seperti bola sepak. Namun kesanggupan bapa perihatin sesungguhnya perlu dicontohi oleh ibu-bapa yang lain agar tidak terlalu mengongkong anak-anak hanya semata-mata untuk mengejar kecemerlangan akademik. Perlu juga diketahui... ramai atlet-atlet  atau pelajar-pelajar yang mewakili MSS Terengganu dalam sukan telah mencapai kecemerlangan dalam akademik dan mengikut statistik dari MSST, tahun lalu pencapaian atlet-atlet MSS Terengganu mengatasi peratusan yang dicapai oleh pelajar-pelajar Terengganu dalam UPSR. Ini menunjukkan bahawa penglibatan pelajar-pelajar dalam sukan tidak memberikan kesan negeif terhadap pencapaian mereka dala peperiksaan malahan mereka menjadi lebih cemerlang.



Selasa

KARNIVAL BOLA BALING 2010 KATEGORI LELAKI

Salam. Hari ini amat perit bagi saya selaku Penegerusi Teknik Bola Baling Daerah kerana terpaksa mengendali karnival dengan kekurangan pegawai untuk mengendalikannya. Penyertaan amat memeberangsangkan tetapi kekurangan pegawai. Memandangkan pertindihan program seperti Peperiksan Tahap Kecekapan (PTK) dan kursus menyebabkan hanya 3 pengadil yang dapat  menghadiri untuk mengendalikan 17 perlawanan amat memeritkan bagi saya. Alhamdulillah... sokongan dari pegawai-pegawai yang terlibat terutama pengurus-pengurus pasukan yang terlibat menyebabkan kejohanan ini dapat dijalankan juga walaupun kita kekurangan pegawai pertandingan. Terima kasih juga kepada Cikgu Saipol, Cikgu Hazanizan, Cikgu Bahaman dan beberapa orang lagi cikgu yang sudi menyumbangkan tenaga dan memberikan pertolongan agar kejohanan ini dapat disempurnakan... terima kasih rakan-rakan yang mengerti dan memahaminya.














 Cikgu Noraini yang sentiasa sudi memberikan bantuan keika memerlukan



 SK Tanjung Pati berbaju merah melawan SK Paka 3 berbaju kuning

Cikgu Borhan turut membantu mengadili perlawanan pada tahun ini.

Salah seorang guru bersemangat memberikan arahan kepada pemain-pemainnya

 Perlawanan separuh akhir pertama
SK Jerangau (belakang) melawan SK Tanjung Pati (depan)

 Perlawanan separuh akhir pertama antara SK Bandar Dungun (belakang) melawan SK Dendang (depan)


Cikgu Bahaman yang komited memberikan pertolongan untuk mengadili perlawanan antara SK Jerangau yang bertemu SK Tanjung Pati.
Kemeriahan ketika perlawanan seperuh akhir pertama di gelanggang A

Di gelanggang B, pasukan SK Bandar bertemu dengan SK Dendang pada perlawanan separuh akhir kedua

Balingan penalti dijalankan untuk menentukan pasukan yang layak ke perlawanan akhir.

Pemain-pemain SK Dendang memerhatikan balingan penalti yang dilakukan oleh SK Bandar Dungun

AKSI-AKSI PERLAWANAN AKHIR
KARNIVAL BOLA BALING BAWAH 11 TAHUN LELAKI 2010



Ckgu Haris (jurulatih SK Tanjung Pati) memerhatikan pemain-pemainnya melakukan serangan








 Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Cikgu Maharuddin (PK Ko-kurikulum SK Tanjung Pati)
Johan Karnival Bola Baling Lelaki 11 Tahun MSS Dungun 2010 SK Tanjung Pati

Seperti tahun-tahun yang lalu karnival bola baling lelaki bawah 11 tahun  berjaya melahirkan ramai pemain-pemain pelapis untuk pasukan bawah 12 tahun MSS Dungun. Namun pada tahun ini kurang menampak potensi tersebut. Walaupun pemain-pemain yang ada memilki kemahiran yang agak baik namun mempunyai saiz yang agak kecil. Ini menyukarkan pasukan MSS Dungun untuk membentuk pasukan yang mantap untuk tahun depan. Diharapkan pada tahun 2011 nanti akan lahir pemain-pemain yang lebih berkualiti untuk kita menghadapi Kejohanan Bola Baling MSS Terengganu. Moga MSS Dungun dapat menjuarai bagi kategori bawah 12 tahun lelaki yang sekian lama tidak mampu dicapai. Tahun terakhir MSS Dungun menjuarainya pada tahun 2001 yang telah dilangsungkan di SK Kg Baru Kuala Abang....

Selaku pengerusi Teknik, saya mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakan-rakan yang sudi membantu menjayakan karnival Bola Baling pada tahun ini. Semoga kerjasama dan keikhlasan rakan-rakan akan mendapat balasan dari yang Maha Esa. Jika tiada kalian siapalah saya ini. Amin..

Ahad

UNDUR DIRI DARI BOLA BALING MSS TERENGGANU

Salam Juara...
Buat kali terakhirnya pada Khamis dan Jumaat lalu saya menyertai Kem Latihan hujung minggu bagi pemain-pemain yang terpilih bagi bawah 11 tahun. Secara rasminya saya telah memaklumkan kepada Pengerusi teknik Bola Baling MSS Terengganu untuk mengundur diri sebagai jurulatih pasukan negeri bermula Sabtu lalu. Memandangkan ramai jurulatih-jurulatih muda yang sangat komited, saya menjangkakan pasukan bola baling negeri Terengganu akan tetap kuat untuk mengekalkan kejuaraan pada tahun hadapan. Moga kalian meneruskan perjuangan!.... 
Barisan jurulatih Bola Baling MSS Terengganu semasa menghadiri Kursus Membina Modul Kejurulatihan di Hotel Seri Malaysia Kuantan

Selain itu juga, saya juga merancang untuk membawa masuk beberapa orang jurulatih dan juga pengurus pasukan yang baru dalam pasukan bola baling MSS Dungun. Bukan kerana merajuk tetapi ingin menumpukan kepada pengurusan pasukan dan memberi peluang kepada rakan-rakan yang berminat dalam permainan bola baling ini. Jika saya yang dah berumur ini masih lagi terus-terusan menjadi jurulatih, bila lagi agaknya peluang  jurulatih-jurulatih baru untuk pergi dan merasai serta mencari pengalaman di peringkat yang lebih tinggi.

Kami di MSS Dungun juga merancang untuk mengadakan kursus kejurulatihan dan kepengadilan di peringkat daerah Dungun untuk memberi pendedahan kepada jurulatih-jurulatih baru khususnya pengadil-pengadil yang semakin berkurangan disebabkan pengadil-pengadil lama ini memasuki zon pengurusan sekolah dan sukar bagi mereka untuk turut sama turun ke padang. Diharap kursus ini akan mendapat sambutan dan menambahkan lagi bilangan jurulatih-jurulatih dan yang lebih penting menambah bilangan pengadil yang begitu kritikal di semua daerah.

Sekian dulu untuk kali ini.

RESPON UNTUK CATATAN TANPA NAMA SK TANJUNG PATI

" bagi sy..permainan bola baling x memerlukan berbadan besar semata2..kerana ini bukan ragbi..plez prihatin terhadap pelajar2 SKTP..diorg telah berlatih bersungguh2 utk game ini..kelincahan dan ketepatan balingan/sambutan bola amat2 penting dlm bola baling utk peringkat skolah rendah ini..arap mendapat perhatian secara positif n pndangan sy ini bkn lah atas dasar emosi semata2..lihatlah bakat mereka..mereka akan mebesar..tumbesaran mgkin akn cepat ketika memasuki darjah 6..ini fakta..bkn rekaan sy smata2..harap mendapat perhatian..salam mesra sy ucapkan..MAJULAH SUKAN UTK NEGARA." 
TANPA NAMA SK TANJUNG PATI.

Salam dihulur pembuka bicara... bersambut atau tidak, tak perlu dikisahkan. Yang penting, dahulukan memberi salam adalah lebih baik. Semoga orang mendahului salam dan yang menerimanya akan mendapat manfaat dariNya.

Buat pertama kalinya kami akan memberikan respon dari pengunjung blog saya yang perihatin.  Terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan atas kunjungan dan respon dari Tanpa Nama dari SK Tanjung Pati walaupun ianya sebagai satu kritikan namun kami anggap sebagai kritikan yang membina untuk kemajuan bola baling baik di peringkat daerah mahupun di peringkat negeri. 

Apa yang diperkatakan oleh Tanpa Nama dari SK Tanjung Pati merupakan satu isu yang mungkin sukar untuk kita atasi dan sering terkeluar oleh orang yang merasakan ketidakadilan telah berlaku dalam sesuatu pemilihan untuk ke jawatan atau ke mana-mana yang dirasakan perlu memilih dia, saudara dia...  anak-anak dia.... kawan dia... pelajar dia... orang dia dan sebagainya. Namun tahukah anda , kami selaku orang yang diamanahkan sebagai panel pemilih telah diberikan garis panduan untuk membuat pemilihan bagi pemain-pemain yang akan mewakili negeri Terengganu pada kejohanan bola baling MSSM.

Bukan hanya ketepatan balingan, kemahiran dan kelincahan sahaja yang diperlukan  untuk menjadi seorang pemain yang berkualiti. Khusunya untuk menyertai kejohanan yang tinggi seperti Kejohanan Bola Baling MSSM. Oleh itu ciri yang paling diutamakan bagi pemilihan pemain bola baling MSS Terengganu ialah bentuk fizikal tubuh badan yang tinggi. Ketepatan balingan dan sambutan boleh dibentuk. Kemahiran juga boleh dipupuk dan kelincahan boleh dilatih namun ketinggian serta bentuk fizikal yang besar sememangnya sukar untuk dibina oleh seseorang jurulatih. 

Mengapa ciri-ciri seperti ini penting dan menjadi keutamaan dalam membentuk pasukan bola baling MSS Terengganu??? Dan kami yakin bukan dalam permainan bola baling sahaja, bahkan dalam permainan bola sepak, bola keranjang, bola tampar, bola jaring dan banyak lagi permainan yang berlakunya 'body contact', bentuk fizikal pemain adalah faktor utama yang difikirkan dalam membentuk sesebuah pasukan. Jika pemain bola baling yang ada dalam sesebuah pasukan mempunyai bentuk fizikal yang kecil, agak sukar untuk pemain tersebut untuk menguasai bola khususnya perebutan bola tinggi dan  membuat jaringan memandangkan hadangan yang perlu dihadapi melebihi dari ketinggiannya. Sudah tentu amat  pasukan tersebut tidak mampu untuk mencapai kejayaan apabila menyertai kejohanan-kejohanan di peringkat yang lebih tinggi.

Mungkin di peringkat zon atau daerah ini mereka masih mampu menguasai permainan dan mencipta kemenangan. Ini kerana faktor 'kepandaian' atau 'kemahiran' yang dimiliki oleh pasukan-pasukan yang bertanding terutama di Karnival Bola Baling MSS Dungun baru-baru ini masih lagi pada peringkat yang rendah kecuali pasukan SK Tanjung Pati yang telah menjadikan permainan ini sebagai permainan 'teras' di sekolah ini. Tahniah dan syabas kami ucapkan. Namun, percayalah, jika anda berada di peringkat atau kejohanan yang lebih besar... ketinggian dan bentuk fizikal pemain memainkan peranan yang sangat penting selain kemahiran yang dimiliki oleh pemain-pemain bola baling. Sebab itulah pasukan Lelaki  Bawah 12 Tahun Terengganu mampu mencapai kejayaan besar dan membawa pulang kejuaraan Bola Baling MSSM tahun ini . Berbanding pasukan Lelaki Bawah 12 Tahun Negeri Pahang yang memilki kemahiran yang tinggi dan kelincahan yang cukup mempersonakan penonton namun, kandas di suku akhir kerana tidak mampu untuk mengatasi pasukan yang memilki permain yang lebih besar dan tinggi dari mereka.

Kebanyakan pemain-pemain lelaki MSS Terengganu kali ini memiliki saiz tubuh badan yang  besar dan tinggi berbanding dengan pasukan-pasukan lain di kejohanan MSSM pada tahun ini. Ini memberikan kelebihan sehingga mereka berjaya mencapai kejayaan yang cemerlang di kejohanan tersebut. Berdasarkan kepada faktor itulah, MSS Terengganu telah menitikberatkan dan memberikan keutamaan kepada pemain-pemain yang memiliki bentuk fizikal yang tinggi dalam usaha membentuk pasukan negeri yang mantap untuk tahun hadapan.
 Pasukan L12 MSS Terengganu: Johan MSS Malaysia 2010

Perlawanan Akhir MSSM 2010: Terengganu lawan Sabah

Lihat betapa besar dan tingginya pemain pasukan L12 MSS Terengganu yang menyamai ketinggian pengurus pasukan Cikgu Fauzi (gambar atas) dan arwah Cikgu Ansury (gambar bawah). Mereka tak perlu melompat untuk mencecah palang gol. Pemain nombor 9 merupakan penjaring utama dalam pasukan MSS Terengganu memandang beliau mempunyai kelebihan tubuh badan yang tinggi yang mampu mengatasi benteng pertahanan lawan ketika membuat lompatan. Balingan percuma yang diambilnya pasti mengerunkan penjaga gol  kerana beliau mampu menjaringkan gol melepasi 'atas benteng' yang dibina oleh pertahanan lawan.

Diperingkat yang tinggi seperti kejohanan MSSM ini menjadi agak sukar untuk kita mendapatkan  dan menjaringkan gol melalui celah-celah antara benteng yang dibina oleh pasukan lawan khususnya pemain-pemain Sabah yang mempunyai saiz badan yang menyamai pemain seusia 5 tahun. Oleh itu, kelebihan pemain-pemain yang mempunyai ketinggian di dalam sesebuah pasukan  digunakan sepenuhnya oleh jurulatih untuk menghasilkan gol melalui 'atas benteng'. Apatah lagi jika sesebuah pasukan itu mempunyai ramai pemain yang tinggi lampai. Ini belum lagi kita bincangkan jika berlaku rempuhan dan perlanggaran dalam masa kita membuat serangan dan juga ketika kita bertahan. Seharusnya juga anda sudah maklum..... kenapa negara-negara Asia tidak mampu menguasai permainan bola baling di peringkat antarabangsa khusus di kejohanan dunia????.. Ya, sudah tentunya faktor utamanya adalah saiz tubuh badan yang merupakan kelemahan yang sukar untuk diperbaiki.

Oleh itu, saya mengharapkan cikgu-cikgu di SK Tanjung Pati memahaminya dan tidak berasa kecil hati atas pemilihan yang telah dilakukan. Fikir-fikirkanlah....tiada untungnya saya untuk 'memilih bulu'. Dan suatu perkara yang perlu diketahui, kouta yang diberikan oleh PT (Pengerusi Teknik Negeri) hanya 4 orang pemain setiap kategori untuk tahun ini berbanding dengan pemilihan pemain pada tahun lalu yang lebih bebas di mana kami panel pemilih telah bergerak ke daerah-daerah dan tiada had yang diberikan untuk setiap daerah. Saya juga telah membuat permintaan untuk menghantar lebih kerana saya tahu bahawa pemain-pemain dari daerah ini mempunyai kemahiran yang lebih baik dari daerah-daerah lain. Namun  permintaan saya telah ditolak memandangkan kuota untuk setiap daerah hanyalah 4 orang sahaja. 

Untuk makluman, bukan hanya pemain pasukan Johan Lelaki dari SK Tanjung Pati sahaja yang tidak terpilih, Johan Perempuan Bawah 11 Tahun di karnival ini iaitu SK Kampung Baru Kuala Abang juga tidak tersenarai dalam ranking  4 terbaik yang perlu dihantar ke MSS Terengganu. Soalan saya. yang pertama... kenapa pula saya memilih pemain  pasukan yang kalah seperti pasukan perempuan dari sekolah SK Tanjung Pati?? Dan soalan yang kedua... Kenapa jurulatih SK Kg Baru Kuala Abang tidak terkilan dengan pemilihan ini?.

Perlawanan akhir Karnival Bola Baling 2010 antara SK Tanjung Pati bertemu SK Bandar Dungun

Jawapannya.... ini kerana hanya 4 yang terbaik, yang berpotensi untuk menyerlah perlu dihantar. Kami yakin pemain perempuan dari SK Tanjung Pati lebih baik dari pemain SK Kg Baru yang menjadi johan di karnival tahun ini . Dan jika 6 atau 10 kuota yang diberi, sudah tentu  seorang atau dua pemain lelaki dari SK Tanjung Pati terutama penjaga gol lelaki SK Tanjung Pati akan pasti terpilih ke latihan hujung minggu yang diadakan di SMK Pengkalan Berangan baru-baru ini. Kedua, Cikgu Bahaman berpengalaman membawa pasukan di  kejohannan yang lebih tinggi dan kami juga yakin beliau sangat memahaminya. Begitu juga Cikgu Shahrin (bekas guru SK Tanjung Pati) sudah pasti memahami situasi kami di MSS Dungun. Sesungguhnya semua yang kami lakukan ini adalah atas kepentingan pasukan bola baling negeri Terengganu yang akan mempertahankan kejuaraan untuk kali ke-lima pada tahun hadapan yang akan berlangsung di negeri Perlis yang terkenal dengan salah sebuah negeri yang kuat dan cemerlang dalam bola baling. 

 Johan Karnival Bola Baling MSS Dungun 2010: SK Tanjung Pati

Naib Johan karnival Bola Baling MSS Dungun 2010: SK Bandar Dungun

Akhir kata, kami dengan rasa rendah diri memohon kemaafan jika semua yang berlaku ini tidak bertepatan dengan kehendak dan keinginan warga SK Tanjung Pati yang telah banyak memberikan pertolongan dan kerjasama kepada kami dalam menjayakan setiap kejohanan bola baling di daerah ini. Segala jasa baik tuan puan kami ucapkan ribuan terima kasih. Jasa dan budi tuan puan tetap kami sanjung. Insya-Allah, kami pasti akan memberi peluang kepada warga SK Tanjung Pati  untuk bersama-sama kami membentuk pasukan MSS Dungun ke kejohanan Bola Baling MSST di Kemaman pada tahun depan sebagaimana kami mengajak dan melantik Cikgu Shahrin merasai dan menimba pengalaman di peringkat yang lebih tinggi pada tahun-tahun yang lalu.

Sabtu

KARNIVAL BOLA BALING PEREMPUAN 11 TAHUN MSS DUNGUN 2010

Salam. Petang tadi telah berlangsung Karnival Bola Baling Bawah 11 tahun Perempuan MSS Dungun bagi tahun 2010. Sambutan  yang amat baik dengan penyertaan 12 buah sekolah di daerah Dungun ini. Lagi satu yang amat menggembirakan hati saya pada tahun ini telah menampakan peningkatan mutu permainan pasukan-pasukan yang menyertainya. Tidak seperti tahun-tahun lalu di mana pasukan yang menyertainya kekadang tidak membuat persediaan sehingga letih pengadil untuk membetul dan memberitahu kesalahan yang dilakukan pemain-pemain dalam padang. 

Alhamdulillah... tahun ini memang best kerana kebanyakkan pasukan yang hadir ini telah mengetahui peraturan-peraturan permainan biarpun ada sesetengah jurulatih yang masih lagi ketinggalan tentang undang-undang yang baru dikuatkuasakan. Keseluruhannya, tahun ini amat membanggakan dengan kualiti pemain yang tinggi. Sebagai Pengerusi Teknik Bola Baling MSS Dungun saya merasa sungguh gembira dan berani membuat sasaran yang tinggi untuk pasukan P12 Mss Dungun tahun depan akan dapat mengembalikan kejuaraan yang telah dirampas oleh MSS Terengganu Utara pada tahun ini.












   











  




 Perlawanan separuh akhir pertama
SK Kg Baru Kuala Abang lawan SK Jerangau

Perlawanan separuh akhir kedua
SK Lintang bertemu SK Seri Paka

 Perlawanan Akhir Karnival Bola Baling MSS Dungun 2010
SK Kg Baru Kuala Abang lawan SK Seri Paka






Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disampai oleh Cikgu Muhammad Yusof
Penolong Pegawai Sukan PPD Dungun

Johan Karnival Bawah 11 Tahun Perempuan 2010 
Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Kuala Abang

Syabas dan tahniah kepada pasukan yang menang dan kepada yang tidak berjaya...cuba dan usaha lagi pada tahun depan. Sebagai pengerusi Teknik Bola Baling MSS Dungun, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam penganjuran ini terutama kepada Sekolah Kebangsaan Tanjung Pati khususnya kepada Penolong Kanan Ko-kurikulumnya yang banyak memberikan bantuan dalam penyiapan gelanggang permainan yang sempurna malahan menampakkan keceriaan dan kemeriahan karnival bola baling pada tahun ini. Semoga kerjasama dari semua akan mendapat balasan darinya.....

TERIMA KASIH DAUN KELADI
TAHUN DEPAN SERTAILAH LAGI