Jumaat

CATATAN KEJOHANAN MSSM 2010

Salam buat semua. 
Sementara menunggu siaran langsung bola sepak piala dunia FIFA antara Cameroon dengan Belanda, saya susun sedikit coretan buat tatapan semua. Catatan pengalaman sepanjang kejohanan bola baling MSSM di Kuantan tempoh hari. Moga yang baik datangnya dari Allah s.w.t dan yang buruk itu mungkin dari kelemahan diri ini.

CATATAN 1: BOLA BALING KELAS KE-2
Cerita tentang kejohanan. Kuantan memang bandar yang besar dan mempunyai banyak infrastruktur kelas pertama dalam bidang sukan seperti di Komplek Sukpa. Namun kejohanan besar seperti ini, JPN Pahang tidak dapat menyediakan tempat kejohanan yang lebih baik berbanding dengan JPN Kedah tahun lalu yang menyediakan gelanggang permainan yang begitu baik. Boleh anda bayangkan bagaimana lokasi kejohanan bagi kategori bawah 18 tahun terletak di kawasan cerut atau dalam kawasan perkampungan di mana sukar untuk meletakkan kenderaan pegawai dan apatah lagi kenderaan seperti bas. Sudahlah gelanggangnya hanya satu, gelanggang permainan pula agak lekeh atau 'low class' dengan lantai simennya yang licin menyebabkan ramai pemain yang sering tergelonsor.
Oleh itu, saya mengharapkan pihak penganjur tahun hadapan dapat melihat kelemahan dan kekurangan yang ada pada tahun ini sebagai landasan untuk mempertingkatkan imej kejohanan dan mutu permainan bola baling dan yang lebih penting menjaga keselamatan pelajar. Bukan tujuan saya untuk mencari kesalahan orang tetapi sekadar memberikan pandangan dan laporan ikhlas dalam dari hati ini. Moga mutu sukan kita akan terus cemerlang.

CATATAN 2 : INDAHNYA SMART
SMART. Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib. Memang smart dalam erti kata yang sebenar. Biarpun bangunannya adalah bangunan lama namun kemudahan asrama yang ada memang memuaskan bagi kontigen kami dan juga MSS Kedah. Kebersihan dan kemudahan katilnya tidak menjadi masalah kepada kami dan juga pemain-pemain. Alhamdulillah dan terima kasih kami ucapkan kepada pihak sekolah SMART kerana menerima kami untuk menginap di sana khususnya kepada warden yang begitu perihatin serta ramah mesra. TQVM.

CATATAN 3 : PENGADIL OH PENGADIL!..
Pegawai kejohanan yang agak lemah pada tahun ini banyak mencacatkan kejohanan walaupun kejohanan pada tahun ini berjalan lancar. Ramai pegawai-pegawai kejohanan yang agak berang dan kekadang naik minyak juga dibuatnya dengan keputusan-keputusan pengadil yang begitu lemah. Pertembungan antara pasukan MSS Kelantan dan tuan rumah, MSS Pahang yang bersaing sengit hampir mencetuskan perkara yang tidak diingini akibat keputusan pengadil yang kurang berkesan. 

Apa yang mengecewakan saya apabila pegawai kejohanan menyalahkan kepada MSS negeri kerana menghantar pengadil-pengadil tersebut. Itu bukanlah satu alasan yang baik kepada persoalan yang menjadi masalah dalam kejohanan pada tahun ini. Sepatutnya kita mengambil pengajaran dan mencari alternatif untuk mengatasinya seperti mengadakan kursus kepengadilan kepada pegawai-pegawai pertandingan sebelum kejohanan MSSM ini berlangsung biarpun ada di antaranya sudah mempunyai sijil-sijil melayakkannya menjadi pengadil. Mungkin dengan kursus ini juga dapat menyelaraskan keputusan-keputusan kepada situasi yang menjadi isu dalam setiap kejohanan.

Selain itu, perlu juga difikirkan bayaran kepada pegawai-pegawai kejohanan ini kerana ini akan menarik minat pengadil-pengadil yang mempunyai pengalaman yang luas untuk hadir sama dalam kejohanan pada tiap-tiap tahun walaupun 'claim' dari jabatan tidak padan dengan kudrat dan tenaga yang dikeluarkan. Kenapa kita tidak mencontohi bola sepak di mana pengadil-pengadilnya diberikan bayaran walaupun ada di antaranya tidak mempunyai sijil kelayakan FAM namun mereka mendapat sedikit imbuhan bila menjalankan tugas sebagai pegawai kejohanan bagi setiap perlawan yang diadilinya. Inilah yang menyebabkan mereka  yang mempunyai pengalaman dan sijil kelayakan sanggup hadir.

CATATAN 4 : PAKU DULANG PAKU SERPIH
Tahun ini tidak seseronok tahun lalu semasa kejohanan bola baling di Kedah. Bukan kejohanan kali ini tidak  meriah tetapi hati ini yang tidak gembira melihat keakraban yang kurang. Mencari kesalahan dan menunding jari sesama sendiri menyebabkan hati ini tidak tenang biarpun MSS Terengganu masih menjuarai kejohanan kali ini. Keupayaan dan kebolehan rakan seharusnya diterima biarpun kita lebih dulu 'makan garam'. Begitu juga pandangan dan tunjuk ajar rakan, seharusnya diberikan perhatian biarpun ianya tidak sama dengan idea dan stail kita. Yang muda patut menghormati yang tua dan yang tua tak semestinya betul.

Oleh itu, pentingnya kita muhasabah diri, mencari kelemahan sendiri sebelum mencari kelemahan orang lain. Sesungguhnya semakin banyak kita mencari kelemahan orang lain, semakin banyak kelemahan diri kita sendiri akan kelihatan. Maka, 'diam itu lebih baik dari berkata-kata'.

CATATAN 5: GURU OH GURU!....
bersambung.....

Sekian dulu untuk kali ini. Semoga catatan ini dapat memberikan kesedaran kepada semua khususnya kepada diri saya sendiri. Yang baik datangnya dari Allah s.w.t dan yang buruk itu datangnya dari kelemahan diri ini sendiri.....

Tiada ulasan: