Isnin

SEJARAH BOLA BALING

Mengikut sejarah bola baling, permainan ini telah mula dimainkan sebelum kurun ke-6 lagi. Ianya mula dikenali sebagai urania pada Zaman Kerajaan Greek, harpaston pada Zaman Kerajaan Rom dan fangballspiel pada Zaman Pertengahan di Jerman. Pada kurun ke-19 pula, telah wujud tiga permainan yang mirip dengan permainan bola baling yang dipanggil haandbold berasal dari Denmark, hazena berasal dari negara Bohemia dan Slovakia dan torball berasal dari Jerman. Ketiga-tiga permainan ini bolehlah dianggap pencetus kepada permainan bola baling masa kini.

Haandbold
Permainan ini mula dicetuskan oleh Helger Nilson iaitu seorang ketua pengawas sekolah yang cuba mencari dan mencipta sukan yang seakan sama dengan permainan bola sepak. Idea ini timbul setelah permainan bola sepak telah banyak menyebabkan kerosakan pada tingkap-tingkap di sekolahnya. Sebagai langkah mengurangkan kerosakan tingkap di sekolahnya dan juga untuk kawalan bola yang lebih baik dia telah memperkenalkan permainan bola dengan menggunakan tangan kepada rakan-rakannya dan akhirnya berjaya dikembangkan sebagai sukan baru sehinggalah ke seluruh negara Denmark.

Hazena
Permainan ini mula diperkenalkan oleh Vraclac Karas dan Antonin Kristof. Ia buat pertama kalinya telah dimainkan di Prague, Republik Czech dengan saiz gelanggangnya (48m x 32m; bentuk kawasan gol, 6m lengkung; saiz gol, 2m x 2.4m dan masa permainan 2 x 25 minit, yang hampir sama dengan bola baling moden. Mereka juga membahagikan kawasan gelanggang kepada tiga kawasan yang terdiri daripada kawasan penjaga gol, pertahanan dan penyerang yang hanya boleh bermain terhad di kawasan mereka.

Torball

Hermann Bachmann merupakan orang pertama yang telah memperkenalkanya di Jerman. Saiz kawasan gelanggang ialah 40m x 20m dan kawasan lengkungan di kawasan gol diukur 4m. Hanya dalam tempoh masa yang singkat, permainan ini telah menjadi popular di seluruh Eropah. Namun, disebabkan oleh setiap negara mempunyai peraturan permainan yang berbeza, penganjurannya di peringkat antarabangsa menjadi agak sukar. Justeru itu, penyelarasan peraturan pertandingan telah dilakukan oleh Karl Schelenz pada 1917 di Berlin.

Bola Baling Padang
Permainan yang juga bernama baru yang dimainkan di kawasan padang bola sepak dengan kekuatan 11 pemain setiap pasukan. Saiz gol, kawasan gol dan beberapa peraturan telah ditukar dan digubal sedikit demi sedikit sehinggalah permainan ini telah dipertandingkan di peringkat antarabangsa. Walau bagaimanapun, kepesatan perkembangan dalam sukan bola baling ini memerlukan satu organisasi di mana organisasi ini dapat mempromosikan sukan bola baling, menganjurkan kejohanan di peringkat dunia dan menyediakan program bagi membolehkan sukan ini dipertandingkan di sukan Olimpik.

Justeru itu, International Amateur Handball Federation (IAHF) telah ditubuhkan pada tahun 1928 di Amsterdam dan dalam tempoh masa yang singkat pada tahun 1936, sukan bola baling telah dipertandingkan di sukan Olimpik di Berlin. Pada waktu itu juga, Austria dan Jerman merupakan kuasa besar bagi sukan ini. International Handball Federation (IHF) merupakan satu organisasi baru yang telah ditubuhkan di Copenhagen, Denmark pada tahun 1946 di mana satu arah baru dalam evolusi sukan bola baling telah wujud. Disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu dan menghadkan permainan ini, saiz kawasan permainan telah menghadkan, permainan ini. Perubahan peraturan telah dilakukan bagi membolehkan sukan ini dimainkan di dalam dewan

Bola Baling Dewan
Sukan bola baling telah dimainkan di padang terbuka dan juga di dalam dewan, bahkan kejohanan dunia bola baling juga dianjurkan untuk kedua-duanya. Namun, bola baling dewan lebih popular berbanding bola baling padang kerana ia dapat dimainkan dengan pantas dan pertandingan boleh dilangsungkan tanpa gangguan cuaca. Pelbagai pergerakan serta kemahiran dapat dilakukan dengan lebih berkesan. Sejak tahun 1966 lagi, IHF hanya menganjurkan kejohanan tertutup dan di dalam dewan sahaja dan ini menyebabkan perkembangan bola baling di dalam dewan menjadi semakin berkembang dan maju. Satu lagi perkembangan dalam bola baling di mana disebabkan oleh popularitinya, bola baling lelaki telah diperkenalkan di sukan Olimpik Munich pada tahun 1972. Pada tahun 1976 pula, acara bola baling wanita telah diperkenalkan di sukan Olimpik Montreal dan menjadi salah satu sukan berpasukan yang paling popular di sukan Olimpik.

Tiada ulasan: