Isnin

PERKEMBANGAN DI MALAYSIA

Sukan bola baling bermula di Malaysia pada tahun 1976. Sukan ini mula diperkenalkan oleh Encik Lim Hock Han iaitu Pengarah Unit Sukan Universiti Malaya setelah sekembalinya beliau dari Sukan Olimpik pada tahun 1976. Beliau juga telah membawa balik rakaman permainan bola baling dari Temasya Sukan Olimpik itu. Beliau telah memberi kursus asas permainan ini kepada sekumpulan guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun itu.

Pada tahun 1978, kursus pengadil bola baling yang pertama diadakan untuk 60 orang guru seluruh Malaysia di Selangor. Pada tahun yang sama juga, sempena meraikan Hari Anugerah Olahragawan dan Olahragawati kebangsaan pada tahun 1978, permainan bola baling telah diadakan di Stadium Negara sebagai acara pertunjukan pada waktu itu.

Satu jawatankuasa penaja telah dibentuk untuk penubuhan Persatuan Bola Baling Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada September 1979 di Morib, Selangor. Pada 7 Disember 1985, buat julung kalinya telah berlangsung Kejohanan Bola Baling peringkat kebangsaan di padang SMK Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor. Pada tahun 1987 pula, permainan ini telah menjadi acara sukan tahunan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia. Kejohanan yang pertama telah diadakan di Kelang, Selangor bagi kategori umur bawah 12 tahun dan 15 tahun lelaki dan perempuan. Terdapat beberapa kejohanan seperti MSSN (peringkat negeri), MSSM (peringkat kebangsaan), KAGUM (peringkat Maktab Perguruan), MASUM (peringkat universiti) dan yang terbaru SIKMA (Sukan Antara Institusi Kementerian Pelajaran Malaysia) yang telah menjadikan pemainan bola baling sebagai acara rasmi dalam kejohanan-kejohanan tersebut.

Persatuan Bola Baling Malaysia (MAHF) telah ditubuhkan pada tahun 1985 dan En. Cheah Hai Su telah dilantik sebagai Presiden MAHF yang pertama manakala En. Kan Tong Leong sebagai Setiausaha Kehormatnya. Pada tahun 1986, Presiden MAHF telah menjadi salah seorang ahli gabungan bersama Asia Handball Federation (AHF). Pada tahun 1990 pula, beliau menjadi ahli gabungan Persekutuan Bola Baling Komanwel (CHF) dan pada tahun 1994 beliau menjadi ahli gabungan International Handball Federation (IHF). MAHF telah menyertai Persekutuan Bola Baling Asia Tenggara (SEAHAF) pada Mei 2004. Persekutuan Bola Baling Malaysia telah berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia di bawah Akta Sukan Kebangsaan 1997, pada 27 Mei 2000. Presiden MAHF yang memegang jawatan ini sejak tahun 2000 sehingga kini ialah Y. Bhg. DatoƊ Haji Suhaimi bin Haji Yacob.

Tiada ulasan: